Persepsi dan reaksi Isu berkaitan pandemik COVID-19 di Malaysia

Penampakan ahli politik yang dilihat tidak endahkan pandemik COVID-19 menyebabkan kehilangan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan ahli-ahli politik Malaysia secara amnya. Tindakan lazim rakyat adalah melalui penggunaan tagar di Internet bagi menyuarakan hasrat ketidakpuasan terhadap kerajaan, meskipun tindakan protes tidak langsung di dunia nyata juga dilakukan sesetengah pihak.[75][76]

Dalam sesetengah kes, ketidakpuasan rakyat membawa kepada rusuhan dan tunjuk perasaan berskala kecil, khususnya menjelang tahun 2021. Protes-protes ini kadangkala dianjurkan oleh pihak pembangkang untuk menuntut penyelesaian isu-isu daripada aspek politik seperti siri perhimpunan aman di hadapan bangunan Parlimen.[77] Kadangkala, tunjuk perasaan juga dianjurkan oleh golongan rakyat secara keseluruhan seperti dalam protes di Kampung Muhibbah Raya, Tawau dan Parit Raja, Batu Pahat yang membawa kepada penahanan para pemprotes serta dakwaan keganasan polis dan pelanggaraan hak kebebasan bersuara.[78][79][80]

Aktivisme di Internet

Tuntutan-tuntutan dalam tagar #KitaMintaLima
  1. Perintah kawalan pergerakan yang bersasar dan efektif;
  2. Sokongan penuh kepada pihak barisan hadapan dengan menyalur segala sumber bagi melawan COVID-19;
  3. Moratorium bank automatik dan bantuan tunai kepada rakyat sepanjang PKP;
  4. Penguatkuasaan tatacara operasi piawai Majlis Keselamatan Negara secara adil dan saksama, dan;
  5. Peranti dan data Internet kepada semua pelajar dengan segera, atau;
  6. Penamatan kerajaan Muhyiddin Yassin sebagai alternatif kepada tindakan-tindakan di atas.

Tagar seperti #RakyatJagaRakyat, sebuah versi alternatif kepada tagar #KitaJagaKita yang disokong oleh kerajaan menjadi tular yang memperlihatkan ketidakpercayaan kalangan rakyat Malaysia kepada pihak kerajaan yang dikatakan sambalewa dalam pengurusan pandemik COVID-19 dan seterusnya membahayakan nyawa rakyat secara amnya.[81]

Pada Januari 2021, suatu tagar bertajuk #SiBodohKauDengarSini menjadi tular yang mula-mula terbit daripada masalah peraturan baharu tempoh pembukaan restoran ketika pandemik yang dilihat membebankan sistem perkhidmatan makanan dan minuman serta rakyat negara secara keseluruhannya. Tagar itu terbit daripada sebuah pertelingkahan di Twitter berkenaan dasar baharu tersebut. Tagar itu juga membuka perbincangan terhadap dasar-dasar lain seperti usul peningkatan denda terhadap golongan LGBT, dan mungkin berjaya mempengaruhi kerajaan untuk melihat semula peraturan tempoh pembukaan tersebut.[82]

Akibat ketidakpuasan rakyat yang memuncak, pada 6 Februari 2021, sebuah tanda pagar aktivis #KitaMintaLima menjadi tular di media sosial yang menuntut campur tangan ketua negara Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan isu-isu pengurusan kerajaan dalam pandemik COVID-19 negara, dengan menuntut lima perkara (seperti di kotak di sebelah kanan).[83] Selain itu, simbol-simbol seperti isyarat tapak tangan menandakan lima tuntutan terbabit juga dipopularkan. Berdasarkan pencetus tagar itu, tindakan itu dibuat selepas melihat komen-komen di laman Facebook yang membantah kerajaan Muhyiddin lalu mengumpulkan keluhan-keluhan yang diperoleh kepada lima perkara asas.[84]

Para pakar membandingkan inti pati tagar tersebut dengan kejadian-kejadian serupa di luar negara seperti tuntutan para pemprotes dalam tunjuk perasaan Hong Kong 2019–2020. Meskipun begitu, para pakar juga berpendapat bahawa tindakan-tindakan aktivisme atas talian seperti ini adalah lazim di Malaysia, terutamanya dalam kalangan kelas pertengahan, dan mungkin tidak akan dibalas dengan sebarang tindakan lanjut.[85]

Pada 16 April, satu lagi tagar bertajuk #KerajaanGagal pula tular di persekitaran Twitter negara sebagai tanda marah kepada kerajaan secara am atas kegagalan pengekangan pandemik COVID-19 serta pelbagai isu berkaitan.[86] Dalam hal ini, Azmin Ali selaku Menteri Kanan membidas tagar tesebut, menyatakan bahawa tagar itu hanya sekadar suatu sentimen atas talian dan menekankan bahawa pihak kerajaan kini lebih memfokuskan kepada pengurusan pandemik dan ekonomi berbanding krisis politik dalaman.[87] Di samping itu, tagar itu juga dibantah kerana disifatkan tidak menggambarkan pendapat majoriti yang menyokong Muhyiddin dan kerajaannya sambil merujuk kepada data-data berkaitan.[88] Sementara itu, rata-rata ahli politik pembangkang pula mengiktiraf dan mendukung tagar tersebut. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi juga mengiktiraf tagar tersebut sebagai kritikan terhadap isu-isu pengurusan pandemik.[87]

Rujukan

WikiPedia: Isu berkaitan pandemik COVID-19 di Malaysia http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pua_2... http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pua_2... http://enotifikasi.moh.gov.my/DMS/Documentation/CD... https://www.abc.net.au/news/2021-01-14/malaysia-co... https://coconuts.co/kl/news/fck-politics-banner-in... https://coconuts.co/kl/news/politicianspuncavirus-... https://www.asiasentinel.com/p/malaysia-fades-in-c... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kitamin... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pemuda-...